Mubaligh Perintis: Bahagian 5 – Pengorbanan keluarga mubaligh
Mubaligh Perintis: Bahagian 5 – Pengorbanan keluarga mubaligh
16hb Disember 2022
Awwab Saad Hayat, AlHakam
Diterjemahkan oleh Musa Bin Masran
Kemas Kini Terakhir pada 20 Januari
2023
Siri yang melihat kepada mubaligh
perintis dan penganut Jamaat Ahmadiyah Muslim yang mendahulukan iman ke atas
dunia.
Ahli Jamaat-e-Ahmadiyah Kenya pada
majlis Aidilfitri
Para mubaligh awal Jamaat Ahmadiyah
Muslim menghadapi banyak cabaran semasa mereka berusaha menyebarkan tabligh
Islam Ahmadiyah ke seluruh pelusuk dunia. Walaupun banyak halangan, mereka
dapat membina asas agama yang kukuh, berkat kesungguhan dan sokongan Allah.
Keluarga mubaligh ini juga membuat pengorbanan yang besar supaya mereka dapat
menjalankan tugas mereka dengan cekap.
Muhammad Munawar Sahib, bekas
mubaligh di Afrika Timur dan Barat, adalah antara pentabligh awal Islam
Ahmadiyah di Afrika, yang berkhidmat di benua itu selama kira-kira 35 tahun.
Dia anak Chaudhary Ghulam Ahmad
Sahib, dilahirkan pada 13 Januari 1922 di daerah Khanewal. Selepas menamatkan
FA dan memperoleh ijazah Maulvi Fazil, dia mendedikasikan hidupnya untuk
berkhidmat kepada Islam Ahmadiyyat pada tahun 1942. Dari tahun 1948 hingga
1983, dia berpeluang melaksanakan perkhidmatan penting di Tanzania, Kenya,
Palestin dan Nigeria.
Dia mahir dalam bahasa Arab, Parsi,
Inggeris, Swahili dan bahasa tempatan, Lou. Semasa menyampaikan khutbah Jumaat,
dia akan menyimpan akhbar Jamaat, Al Fazl, di hadapannya dan menterjemah bahasa
Urdu ke dalam bahasa Swahili. Semasa proses menterjemah Al-Qur’an ke dalam
bahasa Swahili, Sheikh Mubarak Ahmad Sahib menerima bantuan khas daripada
Sheikh Amri Obaidi Sahib dan Muhammad Munawar Sahib. Kerjasama antara individu
ini membantu memastikan kejayaan projek terjemahan.
Selama bertahun-tahun, dia adalah
editor Mapenziya Mungo, sebuah akhbar yang diterbitkan di Tanzania. Mereka yang
bekerja dengannya pernah berkata bahawa keupayaannya untuk mempelajari bahasa
dan memberi perhatian kepada sebutan adalah menakjubkan, dan setiap kali dia
perlu menulis artikel dalam bahasa apa pun, dia akan duduk di atas mesin taip
dan menaipnya. Dia adalah seorang ulama yang terkenal dan mempunyai
keseimbangan kerendahan hati dan kepuasan yang patut dicemburui.
Encik Nyerere (yang merupakan
seorang penyair Swahili yang terkenal yang kemudiannya menjadi Presiden
Tanzania) pernah memberitahu Sheikh Amri Obaidi Sahib bahawa hanya dua akhbar
di Afrika Timur, dari segi bahasa, mempunyai standard yang hebat; dan salah
satunya, katanya, adalah akhbar yang diterbitkan di bawah pengarang Muhammad
Munawar Sahib. Orang Afrika sangat menyayangi Muhammad Munawar Sahib; pernah,
seorang penyair Afrika menggambarkannya dalam puisinya sebagai salah satu
daripada dua bintang yang bersinar di Afrika Timur.
Anaknya, Mubarak Ahmad Tahir Sahib
menyiarkan beberapa peristiwa dan pemerhatian tentang bapanya yang berlaku
sepanjang tinggal di luar negara. Dalam tulisannya, dia menyatakan bahawa sukar
baginya untuk menulis tentang bapanya kerana mereka menghabiskan banyak masa
mereka secara fizikal berjauhan antara satu sama lain. Dia menulis bahawa
beberapa bulan sebelum kelahirannya, bapanya pergi ke Nairobi, Kenya, sebagai
mubaligh pada April 1948. Apabila dia pulang dari cuti, anaknya berusia empat
setengah tahun. Apabila bapanya tiba, neneknya, menyuruhnya berdiri bersama
beberapa budak lelaki di kawasan kejiranan dan meminta bapanya, Muhammad
Munawar Sahib, untuk mengenal pasti anaknya di antara mereka. Munawar Sahib,
yang mengenali anaknya, mengulurkan tangannya dan berkata, “Ini anakku.” Anaknya
menulis, ini kali pertama dia dipegang oleh anaknya, pada usia empat setengah
tahun.
Mubarak Ahmad Tahir Sahib menulis
bahawa tidak lama selepas bapanya pulang dari Kenya, bapanya berkahwin lagi.
Tidak lama selepas itu, mereka semua berpindah ke Kenya, pergi ke sana dengan
kapal. Muhammad Munawar Sahib mula dilantik ke Nairobi, kemudian Kisumu dan
kemudian Nairobi semula. Selepas tinggal di sana selama lapan tahun, mereka
kembali ke Karachi pada Julai 1960.
Mubarak Ahmad Tahir Sahib
menyatakan bahawa walaupun selama lapan tahun tinggal di Kenya, terdapat
beberapa pertemuan dan bersua dengan bapanya. Dia selalu pergi ke sekolah pada
awal pagi dan ayahnya akan pergi ke rumah misi. Muhammad Munawar Sahib akan
datang selama setengah jam untuk makan tengah hari dan kemudian pulang ke rumah
misi dan kemudian pulang ke rumah selepas solat Isyak. Disebabkan kekurangan
masa bersama, Mubarak Ahmad Tahir Sahib menyatakan, “Tidak mungkin ada
kejujuran antara kita.”
Selepas cutinya pada tahun 1960,
Muhammad Munawar Sahib pulang ke Nairobi seorang diri; anaknya, kedua-dua
isterinya, dan kini anak perempuannya, Amatun Noor Tahira Sahiba, tinggal di
Rabwah.
Bersendirian, Muhammad Munawar
Sahib menghadapi kesukaran menguruskan tanggungjawab rumah tangganya semasa bekerja
di lapangan. Oleh itu dia memohon permintaan kepada Jamaat untuk menghantar
keluarganya ke Kenya. Hazrat Khalifatul Masih III (rh) menerima permintaannya
dan membenarkan salah seorang isterinya untuk menyertainya.
Mubarak Ahmad Tahir Sahib menulis
bahawa bapanya akan pulang (di Pakistan) apabila mendapat cuti dan akan kembali
ke jawatannya. Ini berlangsung selama bertahun-tahun. Sementara itu, Mubarak
Ahmad Tahir Sahib berkahwin pada tahun 1969. Selepas tiga bulan berkahwin, dia
telah menamatkan BA, dan kemudian, selepas lulus MA pada tahun 1971, dia
menawarkan perkhidmatannya di bawah Majlis Nusrat Jehan.
Hazrat Khalifatul Masih III (rh)
melantik Mubarak Ahmad Tahir Sahib ke Sekolah Menengah Ahmadiyah, Rokoper di
Sierra Leone. Dia tiba di Sierra Leone bersendirian pada 1 November 1975,
kembali ke Pakistan bercuti pada Oktober 1978 dan kemudian kembali ke Sierra
Leone bersama keluarganya (isteri dan tiga anak perempuan). Dalam perjalanan ke
sana, dia bersama keluarganya melawat Muhammad Munawar Sahib selama sepuluh
hari di Nairobi.
Mubarak Ahmad Tahir Sahib menulis
bahawa setiap kali dia datang ke Pakistan bercuti dari Sierra Leone, bapanya
akan berada di Kenya atau Tanzania; dan setiap kali bapanya akan datang ke
Pakistan bercuti, dia akan berada di Sierra Leone.
Pelantikan terakhir Muhammad
Munawar Sahib sebagai Amir dan pentabligh yang bertanggungjawab di Nigeria dan
dari sana dia mengambil delegasi dan menyertai majlis perasmian Masjid Basharat
di Sepanyol. Tinggalnya di Nigeria berlangsung kira-kira tujuh bulan. Kemudian,
kerana sakit dan kesihatan yang tidak baik, dia berpindah kembali ke Pakistan
secara kekal di bawah bimbingan Hazrat Khalifatul Masih IV (rh) dan tinggal di
Rabwah sehingga kematiannya.
Perasmian Masjid Basharat, Pedro
Abad, Sepanyol, 1982
Apabila Mubarak Ahmad Tahir Sahib
kembali ke Sierra Leone selepas bercuti ke Pakistan pada tahun 1981, keadaan
menjadi sedemikian sehingga dia terpaksa tinggal di Sierra Leone selama
sembilan tahun berturut-turut. Dia menyatakan bahawa dia pulang ke Rabwah
bersama keluarganya pada 15 Ogos 1990. Berpisah pada Januari 1979, bapa dan
anak bertemu di Rabwah pada 15 Ogos 1990 selepas 12 tahun berpisah secara
berterusan.
Mubarak Tahir Sahib menyatakan mereka
adalah keluarga lima orang. Pernah suatu ketika kelima-lima ahli keluarga itu
bertebaran di empat buah negara dengan izin Allah atas khidmat agama dan
bahagia di tempat masing-masing. Muhammad Munawar Sahib berada di Afrika
bersama isteri keduanya. Isteri pertamanya menguruskan rumah di Rabwah. Anak
perempuannya, Amatun Noor Tahira Sahiba, yang berkahwin dengan seorang mubaligh
bernama Abdul Razzaq Butt Sahib, berada di Ghana. Mubarak Ahmad Tahir Sahib
berada di Sierra Leone berkhidmat bersama keluarganya.
Mubarak Tahir Sahib menyatakan
bahawa tiada seorang pun dalam keluarga itu pernah terfikir untuk menyusahkan
orang lain dengan menyebut kesedihan yang mereka alami akibat perpisahan yang
berterusan. Sebaliknya, bapanya, Muhammad Munawar Sahib, pernah menulis kepada
anaknya, menyatakan, “Pada masa ini [dalam hidup kita], ada kesihatan, jadi ada
peluang untuk berkhidmat [agama].” Dia menyatakan bahawa walaupun mereka
bertemu satu hari selepas masa yang lama berpisah, pengiraan tahun perpisahan
akan bermula dari “satu” sekali lagi.
Muhammad Munawar Sahib meninggal
dunia pada November 1995 dan dikebumikan di Bahishti Maqbarah Rabwah.
Dalam bukunya Aik Naik Bibi Ki Yaad
Mein, Muhammad Munawar Sahib menceritakan keadaan sekitar tugasnya di lapangan
serta tingkah laku mesra kedua isterinya. Di samping memuji tulisan ini, Hazrat
Khalifatul Masih IV (rh) mencadangkan agar ia disediakan secara meluas untuk
kajian supaya orang dapat menjalani kehidupan yang sederhana hanya kerana Tuhan
dan menghalang pertumbuhan tabiat berbahaya dalam masyarakat. Buku Urdu ini
boleh didapati di: www.alislam.org/urdu/pdf/Aik-Naik-Bibi-Ki-Yaad-Me.pdf
Apabila kita membaca dan mendengar
tentang kehidupan dan pengorbanan mubaligh perintis kita, secara semula jadi
muncul doa dari lubuk hati kita agar Tuhan memberkati mereka atas usaha mereka.
Adalah penting untuk mengingati keluarga mereka juga yang turut melakukan
pengorbanan yang luar biasa, dengan rahmat Tuhan.
Comments
Post a Comment